|
DARANG BUAYA - Selepas berehat untuk beberapa bulan, ‘Tok Janggut’ beraksi semula dengan mengumpul rakan-rakan pendekar dari daerah ini dan Machang. Pesilat yang mewujudkan gelanggang Seni Silat Buaya Putih di sini, Maha-san Ismail, 52, berkata, darah pendekar yang mengalir dalam badannya tidak boleh dilupakan begitu saja. Menurutnya, gerak seni dalam persilatan mesti sentiasa dilakukan bagi mengelak ianya ‘terkepung’ dalam jiwa yang menyebabkan hatinya tidak tenang.
“Hari ini (semalam) ka-mi berkumpul dan mempamerkan aksi masing-masing dengan iringan gendang yang cukup melapangkan dada. “Semua ini dilakukan kerana kita tidak mahu warisan zaman berzaman ini lenyap begitu saja, minat generasi baru dapat dipupuk dengan adanya pertunjukan seni silat,” katanya yang mendapat gelaran Tok Jang-gut kerana mempunyai pertalian darah dengan pejuang tersohor itu. Mahasan berkata, selagi mempunyai kekuatan fizikal, dia tidak akan berhenti dari arena persilatan kerana gerak seni yang diamalkan juga membentuk kekuatan rohani.
Turut menyertai himpunan itu ialah Zakaria Ali, 56, dari Kampugn Temila, Pasir Puteh dan pesilat Orang Kelainan Upaya, Mohd Asri Daud, 35, dari Machang. Pada awal penglibatan, Mahasan menerima ajaran daripada guru silat dari Padang Pak Amat yang dikenali sebagai Tok Walid dan sehingga ke hari ini, Mahasan mempunyai ratusan murid termasuk sebilangan yang lebih tua dari beliau.
Sementara itu, Zakaria yang pernah berguru dengan pendekar yang dikenali sebagai Mat Jerat, berkata, dia sentiasa menyokong sebarang usaha untuk melatih generasi baru mendalami seni silat bagi mengelak ianya pupus suatu masa nanti. Katanya, hasrat itu perlu mendapat sokongan daripada pihak tertentu sama ada daripada agensi kerajaan mahupun Badan Bukan Kerajaan kerana kesenian warisan milik semua orang.
“Rasa cinta kepada seni silat perlu dipupuk kepada generasi muda agar ia kekal mejadi kebanggaan kita dan semua pihak perlu mendorong bagi membantu usaha memartabatkannya,” katanya yang lebih dikenali sebagai ‘Abe Ya Misai’. -"Sinar Harian"-
|